Friday, October 30, 2009

Imam Reza as




Bismi Taala

قُل لا اسألُكُم عَليه اَجراً اِلّا المَوَدّة في القُربى

Katakanlah wahai Nabi! Aku tidak mengharapkan ganjaran daripada kalian, kecuali kecintaan kepada keluargaku. (Syura, 23)

Imam Ali Ar-Ridha alaihissalam dalam menerangkan tafsir ayat ini dan bukti kedudukan Ahlulbait alaihimussalam berkata :

Di dalam Al-Quran terdapat ayat yang seumpama ini, turun berkenaan sebahagian Rasul-rasul seperti Nabi Nuh, Hud, Soleh, Luth dan Syuaib dengan hanya perbezaan pada ayat yang berbunyi (pahala dan ganjaran para Rasul hanya terletak disisi Allah), tetapi (kecintaan kepada keluarga)) mereka tidak disebutkan. Al-Quran merakamkan berkenaan Rasul terakhir, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Aalih bahawa ganjaran bagi risalah Rasul, kecintaan kepada keluarga terdekatnya.
Imam Ridha Alaihissalam meneruskan : Allah swt, mewajibkan kecintaan kepada Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih kerana Dia mengetahui bahawa Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih tidak akan sesekali membelakangi agama dan tidak akan sesekali tersesat atau terpesong.

Imam Ridha Alaihissalam berkata : selepas turun ayat ini dan sebelum ia dibaca kepada orang ramai, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih berada bersama pengikut-pengikutnya dan mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kemudian bersabda : ‘Wahai manusia, Allah Subhanahu Taala telah mewajibkan ke atas kamu satu tanggungjawab, adakah kamu akan mengamalkan tanggungjawab ini?’

Tidak ada yang menyambut persoalan yang dikemukakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih , kerana mereka menyangka tanggungjawab mereka itu adalah dari segi harta. Hari kedua, Rasulullah Sallallhu Alaihi wa Aalih mengulang sekali lagi perkara yang sama dan mereka masih diam membisu sehinggalah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih bersabda : ‘Tanggungjawab ini, bukanlah (dari segi harta dan) membayar emas dan perak, makanan atau minuman.’ Mereka bertanya : ‘Jika bukan semua itu, maka apakah itu? Maka Baginda Sallallahu Alaihi wa Aalih membaca ayat-ayat yang telah diturunkan kepadanya dan bersabda : ‘Ganjaran risalahku adalah kecintaan kepada ahlul baitku’.. mendengar ayat ini mereka berkata : ‘Kami menerima perintah Tuhan, dan kewajipan ini akan kami tunaikan.’ Imam Ridha Alaihissalam kemudian berkata : ‘Namun ramai manusia tidak mengamalkan tanggungjawab Ilahi ini dan tidak setia pada apa yang telah mereka janjikan.’

Imam Musa al-Kazhim Alaihissalam, seluruh keluarga Bani Hashim serta para pengikutnya Imam Jaafar As-Sodiq Alaihissalam masih dalam keadaan berduka-cita atas kesyahidan ayahnya, sebagai ketua dan pemimpin tercinta. Madinah juga turut berduka atas kehilangan pemimpin dan imam tercinta seperti Imam Sodiq alaihissalam, langit juga tampak suram di mana matahari, bulan dan bintang-bintang amat masgul.. Dari 25 Syawal sehingga 11 Zulkaedah, tidak terlihat walau senyuman dibibir para pengikut imam. Sehinggalah hari ke 11 Zulkaedah yang mana matahari terbit berbeda dan Madinah serta ahlinya mendapat khabar gembira tentang kelahiran seorang putera di rumah Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam.

Kelahiran seorang putera yang dinamakan ALI, yang menenangkan serta membawa cahaya ceria kepada seluruh alam.

Abul Hassan, Ali ibni Musa Alaihimussalam yang terkenal dengan gelaran Ar-Ridha, pemimpin dan imam yang kelapan, dilahirkan pada 11 Zulkaedah tahun 148 Hijrah. Imam a.as yang merupakan salah seorang daripada Ahlul Bait Alaihimussalam yang telah diwajibkan kecintaan ke atas mereka.

Kelahiran mulia ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih di mana telah diriwayatkan bahawa Hamidah Salamullah Alaiha, ibunda Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam telah melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih pada satu malam di dalam tidurnya, Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih bersabda kepadanya supaya mengahwinkan Najmah Salamullah Alaiha dengan puteranya Musa Alaihissalam, kerana daripada wanita itu akan lahir seorang putera yang terbaik daripada seluruh penduduk bumi. Oleh sebab itu, Hamidah Salamullah Alaiha telah mengahwinkan Imam Musa Kazhim Alaihissalam dengan Najmah Salamullah Alaiha. Terdapat riwayat lain daripada Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam yang berkata : ‘Datuk dan ayahku telah berkata kepadaku di dalam tidur.. Wahai Musa! Daripada hamba ini akan lahir seorang yang terbaik daripada seluruh penduduk bumi. Letakkan namanya Ali yang mana Allah Subhanahu wa Taala akan memberikan dengannya segera keadilan, rahmat dan barakah disebabkan beliau.Berbahagialah mereka yang membenarkannya dan sengsaralah mereka yang memusuhinya dan mengingkarinya.’

Kelahiran Imam Ridha Alaihissalam adalah sebuah harapan dan merupakan cita-cita datuknya Imam Sodiq Alaihissalam untuk bertemu dengan beliau. Imam Kazhim Alaihissalam meriwayatkan ‘Aku telah mendengar acapkali daripada ayahandaku, Jaafar Bin Muhammad yang berkata.. alim Aali Muhammad akan lahir daripadamu dan alangkah berbahagianya jika aku dapat melihatnya. Namanya adalah sama dengan nama datukku Amirul Mukminin Alaihissalam.’

Khurasan pada malam kelahiranmu merupakan tempat yang paling dikasihi. Malam ini para malaikat dan hati-hati menjurus ke arah kota Mashad. Hati-hati malam ini mengharapkan bahawa alangkah bahagia dan beruntungnya jika kita dapat menyambut kelahiran mulia ini disisi sang kekasih, di Haram dan tempat bersemadi tubuh sucinya.
Pada kelahiran Imam Ridha Alaihissalam kali ini, kita akan cuba meniliti apakah kepentingan dan kelebihan yang dijanjikan dengan menziarah ke makam beliau Alaihissalam.




Antara kelebihan ziarah ke Makam Imam Ridha Alaihissalam :
1) Ziarah Imam Ridha Alaihissalam lebih baik daripada menziarahi Sayyidush Syuhada Alaihissalam.

Syah Abdul Azim Hasani berkata ‘Aku telah bertanya kepada Imam Jawad Alaihissalam, kemanakah aku perlu berziarah, adakah ziarah Imam Husain Alaihissalam atau ayahandamu, (Imam Ali Ar-ridha a.s.)
Imam Alaihissalam berkata ‘Bersegeralah! Kemudian beliau berduka dan menangis.Imam Jawad menjelaskan lagi..’Penziarah Imam Husain Alaihissalam begitu banyak namun penziarah Ayahandaku amatlah sedikit berbandingnya.’

Di dalam riwayat lain beliau Alaihissalam berkata ‘Menziarahi ayahku lebih utama kerana Imam Husain Alaihissalam didatangi oleh semua manusia namun ayahku hanya diziarahi para pengikut syiah Imam 12.

Ini adalah kerana semua golongan syiah seperti Isna ‘Asyaari, Zaidiyah,Ismailiyah, waqifiyah dan lain-lain menerima wilayahnya Imam Husain Alaihissalam akan tetapi tidak semua golongan syiah menerima wilayah dan kepimpinan Imam Ridha Alaihissalam. Oleh kerana itu, terdapat riwayat yang menekankan bahawa beliau Alaihissalam adalah عارفا بحقه yang bermaksud beliau adalah imam yang wajib ditaati.

2) Janji keampunan dosa-dosa yang terdahulu dan yang akan datang bagi penziarah Imam Ridha Alaihissalam.

Imam Jawad Alaihissalam bersabda ‘Barangsiapa menziarahi makam ayahku di Tus, Allah Subhanahu wa Taala akan mengampuni dosa-dosanya baik yang terdahulu mahupun yang akan datang, pada hari kiamat akan didirikan mimbar baginya yang berhadapan dengan mimbar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih dan dengan tenang duduk di atasnya sehinggalah amalan semua hamba dihisab oleh Allah Subhanahu Taala.
Riwayat ini menunjukkan dua perkara :

1) Pengampunan dosa
2) Kemudahan dalam hisab
3) Ziarah dengan makrifah ganjarannya 70 syahid
Hamzah Bin Hamran meriwayatkan daripada Imam Sodiq Alaihissalam bahawa beliau Alaihissalam berkata ‘Barangsiapa yang menziarahi cucuku di Khurasan dengan mengenali haknya, akan mendapat ganjaran 70 syahid daripada para syuhada yang dikebumikan berhampiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih.
‘Aku berkata , aku adalah korban bagimu.’

Apakah maksud daripada mengenalinya hak itu? Berkata Alaihissalam :
Mengetahui bahawa beliau Alaihissalam adalah Imam yang wajib ditaati, terasing dan syahid.

4) Pada hari kiamat, semua manusia hanya ingin memikirkan diri sendiri tetapi Imam Ridha Alaihissalam berusaha untuk menyelamatkan para penziarahnya
Di hari kiamat, semua manusia hanya memikirkan diri sendiri dan perkara-perkara ini:
1) Timbangan amal.. ‘Adakah akibatnya baik atau buruk?’
2) Bagaimana melalui Jambatan Sirath..’Adakah berjaya melintasinya atau akan jatuh ke bawah?’
3) Menerima buku amalan.. ‘Adakah akan menerima buku amalan daripada tangan kiri atau tangan kanan?’



Imam Ridha Alaihissalam berkata : Aku akan menolong para penziarahku dalam menghadapi kesulitan itu dan mensyafaati mereka.

Imam Ridha Alaihissalam berkata.. ‘Barangsiapa menziarahiku yang berada dikejauhan, aku akan membantunya pada 3 tempat dan memudahkan 3 kesulitan itu :
1) Ketika buku-buku amalan diberikan pada tangan kiri atau kanan.
2) Ketika melalui jambatan sirath.
3) Ketika amalan ditimbang.

Kita memohon daripada Allah Subhanahu wa Taala supaya memberikan taufiq kepada kita untuk mengenali hak dan keutamaan Ahlul Bait Alaihimussalam, mencintai mereka sesuai dengan perintah Allah Subhanahu wa Taala. Semoga Allah memberikan inayah kepada kita untuk dapat menziarahi makam mereka Alaihimussalam khususnya makamnya Imam Ali Ibni Musa Ar-Ridha Alaihissalam.

Eltimasi doa

Fatimah Masumah sa





Sejarah bulan ini tertumpu kepada seorang lagi Fatimah. Penantian kehadiran permata cahaya yang menerangi bahagia. Ketenangan hadirnya seorang lagi Fatimah tersebar ke seluruh Madinah, telaga Kausar Fatimah, mengalirkan airnya.

Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasalam merupakan punca-punca cahaya yang menerangi alam, nama-nama mereka umpama bintang-bintang yang cemerlang berkelipan di langit-langit yang memberi keberkatan dan mencurahkan kebaikan, dan antara yang paling cerah dan menonjol di kalangan wanita keturunan mulia ini adalah puteri Imam ketujuh, Fatimah Kubra puteri suci Musa Ibni Jaafar Alaihis Salam.

Beliau sa. Adalah puteri terbaik Musa as. yang mana setiap kali nama Ayahanda dituturkan pasti akan diiringi nama beliau sa.. dan kini kita berada didalam minggu-minggu hari kelahiran beliau sa., 10 hari karamah dimana bermula daripada 1 Zulkaedah (hari kelahiran Hadrati Masumah sa.) hingga 11 Zulkaedah (wiladah Kekandanya Imam Ali Ibni Musa Ar-Ridha as.).

Kelahiran puteri ini sangat di nantikan oleh Ahlul Bait Alaihimussalam dan mempunyai kepentingan yang tersendiri kerana kelahiran beliau sa. telah diberitakan oleh Datuknya Imam Sodiq as. berulang kali sebelum kelahirannya, malah sebelum kelahiran Ayahandanya. Oleh sebab itu, para syiah sejak zaman itu lagi telah mengenal dan mengetahui makam tinggi yang dimiliki Beliau sa.

Salah satu riwayat daripada Imam Sodiq as. Bahawa satu hari telah datang sekumpulan syiah daripada Rei (sebuah negeri di Iran ) bertemu Imam Sodiq as. , Imam as. Berkata : Tahniah ke atas saudara-saudara kami dari ahli Qum .
Mereka berkata : Kami merupakan ahli Rei.
Tetapi Imam mengulang kata-kata yang sebelumnya.
Dan menyambung :

Ketahuilah sesungguhnya Allah swt. memiliki haram (tanah suci) iaitu Makkah, haramnya Rasulullah saww. merupakan Madinah, haram (tempat suci) Amirul Mukminin as. adalah Kufah dan ketahuilah Qum merupakan haramku (tempat suciku) dan anak-anak selepasku. Ketahuilah bahawa Qum adalah Kufah kecil kami.Ketahuilah bahawa syurga mempunyai 8 buah pintu yang mana 3 pintu daripadanya ke arah Qum. Seorang puteri dari keturunanku akan wafat di sana yang namanya Fatimah puteri Musa as.. Semua para syiah kami akan masuk syurga dengan syafaatnya.

Fatimah Masumah Salamullah Alaiha dilahirkan pada satu Zulqaedah, tahun 173 Hijrah, di Madinah Munawwarah. Puteri suci ini dari titik mula hidupnya telah dididik dalam keadaan dan dikalangan manusia yang mana ayah, ibu dan anak-anak yang dihiasi dengan kelebihan dan kecantikan akhlak yang terpuji. Ibadah, kezuhudan, taqwa, jujur, berdiri teguh dalam menentang kebathilan, pemurah, dan kesucian merupakan antara sifat agung keluarga ini. Lelaki-lelaki keluarga ini merupakan antara yang terpilih dan pemimpin hidayah, permata-permata bersinar imamah dan pemilik kapal penyelamat manusia.

Fatimah Masumah sa. dididik dalam keluarga yang merupakan sumber dan punca ilmu, taqwa dan pendidikan akhlak. Selepas kesyahidan Ayahandanya Imam Musa Al-Kazhim as., putera terbaiknya, iaitu Imam Ali Ar-Ridha as. pula bertanggungjawab mengambil alih tugas ayahandanya dalam mendidik, menjaga dan mentarbiyah saudara-saudara lelaki dan perempuan beliau as.. Natijah daripada dididikan beliau as., setiap daripada anak-anak Imam Musa as. telah mencapai makam yang tinggi dan menjadi buah mulut manusia. Dan tidak ada keraguan bahawa selepas daripada abangnya Imam Ridha as., Hadrati Masumah as. dari segi ilmu dan akhlak memiliki makam yang paling tinggi diantara anak-anak Imam Kazhim as..Hakikat ini jelas dibuktikan dengan riwayat-riwayat daripada para Imam as. berkenaan nama-nama, gelaran-gelaran dan pujian-pujian terhadap beliau sa..

Fatimah Masumah sa., puteri syurga, tenggelam didalam khusyuk ibadah, indah daripada segala kejelekan dan wangian sebuah penciptaan. Mungkin salah satu daripada dalil mengapa beliau sa. digelar dengan nama ((Masumah)) adalah bahawa kemaksuman Ibundanya Fatimah Az-Zahra’ telah terlihat didalam dirinya. Terdapat riwayat bahawa gelaran ini diberikan oleh Imam Ridha as., Allamah Majlisi ra. berkata : Imam Ridha as. telah berkata pada satu tempat : Barangsiapa yang menziarahi Masumah sa. di Qum, umpama dia telah menziarahiku.
Gelaran lain yang dimiliki oleh Fatimah Masumah sa. adalah ((Karimah Ahlul Bait)) , gelaran ini diberikan berdasarkan sebuah mimpi sodiq (yang dipercayai) oleh seorang ulama besar Syiah daripada Imam Maksum as. . Kisah ini diriwayatkan bahawa :

Marhum Ayatullah Sayyid Mahmud Mara’syi Najafi, datuk Ayatullah Sayyid Shahabuddin Mara’syi ra. sangat ingin mengetahui tempat kuburnya Fatimah Zahra sa.. Beliau ra. beribadah selama 40 hari. Malam ke-40, beliau beristirehat selepas menamatkan ibadahnya dan bertawassul. Didalam mimpi beliau telah bertemu dengan Imam Sodiq as..

Imam as. berkata kepadanya : “:pegang eratlah kepada Karimah Ahlul Bait”
Beliau ra. memikirkan bahawa maksud Imam as. adalah Hadrati Zahra sa., dan berkata : Aku adalah korbanmu, aku mengkhatam Quran bagi mengetahui tempat sebenar kubur mulia beliau sa. (Fatimah Zahra sa.) supaya aku dapat menziarahinya dengan lebih baik. Imam as. berkata : maksudku adalah kubur mulia Hadrati Masumah di Qum. Kemudian berkata as. : Disebabkan maslahat (kebaikan) , Allah swt. berkehendak kubur mulia Hadrati Zahra sa. kekal rahsia, oleh itu Allah swt. telah menetapkan kubur Hadrati Masumah sa. sebagai gantinya. Jikalau Allah swt. telah menzahirkan kuburnya Fatimah sa. dan menetapkan ketinggian, kelebihan dan kemulian baginya, Allah swt. telah memberikan ketinggian, kelebihan dan kemulian yang sama kepada kubur suci Hadrati Masumah sa.

Marhum Mara’syi ketika telah bangun daripada tidur, beliau ra. membuat keputusan untuk pergi ke Iran bagi menziarahi Hadrati Masumah sa.. Beliau ra. bersama keluarganya meninggalkan Najaf dan bermusafir dengan niat menziarahi kubur Karimah Ahlul Bait sa.

Makam paling tinggi syafaat, dimiliki oleh Rasulullah saww. yang mana didalam Al-Quran disebut dengan ((Makam Mahmud)). Begitu juga, dua orang puteri keturunan Baginda saww. yang memiliki syafaat yang luas yang mana mereka mampu mensyafaati seluruh ahli mahsyar. Dua puteri mulia ini adalah Siddiqah Athar, Fatimah Zahra sa. dan Syafiah hari pembalasan, Fatimah Masumah sa..Tidak ada wanita yang mampu menandingi keluasan syafaat yang dimiliki oleh beliau sa. (selepas Ibundanya Zahra sa.), dan dengan demikian Imam Jaafar Sodiq as. berkata : Dengan syafaatnya, semua syiah kami dapat masuk ke syurga.



Doa dan ziarah merupakan sayap-sayap yang membawa manusia terbang kepada Tuhannya. Doa dan ziarah umpama air yang menghilangkan dahaga manusia yang tergapai-gapai mencari makrifat iman, dan ziarah haram Masumah sa. memberikan sebuah harapan kepada ruh yang menjerit derita dengan segala kejahatan dan kekotoran dunia, memberi kesedaran kepada diri yang kadang alpa dan lupa, memberi khabar gembira syurga yang abadi selamanya. Ziarah makam Fatimah Masumah sa. memberi kekuatan dan kepercayaan pada diri, menyelamatkan daripada lemas daripada putus harapan, dan mengajak kepada usaha yang gigih. Ziarah Karimah Ahlul Bait sa. ini menyebabkan penziarahnya melihat diri perlu dan bergantung kepada Tuhan, merasa rendah berhadapan dengan Dia yang Esa, turun dan rebah daripada kenderaan bangga dan takabbur yang merupakan punca segala malapetaka dan kegelapan, dan meletakkan Fatimah Masumah sa. ini sebagai perantaraan berhadapan dengan Allah swt.. Oleh kerana itu, ziarah beliau sa. telah dijanjikan dengan pahala yang sangat besar dan ia adalah janji syurga, yang mana diriwayatkan daripada Imam Jawad as. : Barangsiapa yang menziarahi makcikku di Qum, maka syurga adalah miliknya.





Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Fatimah Masumah sa., antaranya :
Fatimah Masumah sa. telah meriwayatkan hadis ini daripada puteri Imam Sodiq as. dimana salasilah sanad (perawi) ini sampai kepada Fatimah Zahra sa.. Fatimah sa., puteri Rasulullah saww. berkata :

“Adakah kamu telah lupa sabda Rasulullah saww. pada hari Ghadir Khum yang bersabda : Barangsiapa Aku adalah maulanya, maka Ali merupakan maulanya, dan (adakah kamu telah lupa) sabda Baginda saww. yang lain yang bersabda : Kamu bagiku umpama Harun bagi Musa?.”

Fatimah Masumah sa. meriwayatkan daripada puteri Imam Sodiq as. yang mana salasilah sanad sampai kepada Fatimah Zahra sa. bahawa beliau sa. berkata : Rasulullah saww. bersabda : “Ketahuilah! Barangsiapa yang mati dengan kecintaan kepada Ahlul Bait as., adalah mati syahid.”

Ya Fatimah Masumah sa., Ishfai’ lana fil jannah

Ya Aba Soleh Eltimasi Doa
Sayyed Mohd Fadlie ben Yahya
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com

Tuesday, October 13, 2009

Syahadah Imam Ja'far Sodiq as

Bismillahirrahmanirrahim

Bagaimanapun aku berfikir apa yang patut aku tuliskan berkenaan Imam Sodiq as. tidak aku temui didalam fikiranku. Bagaimanakah aku hendak menggelarkan aku sebagai seorang syiah, adakah aku boleh digelar sebagai pengikutnya Mazhab Jaafari, aku walau dalam keadaan terpaksa mungkin tidak mampu untuk meriwayatkan walau 4 baris daripada kata-kata Imam dan pemimpin mazhabku sendiri.
Setiap muharam atau majlis azadari yang aku hadiri, apabila Imam Husain as. bertanya semua pukulan dada atau tangisan buatnya untuk apa?apa yang aku ketahui? Mungkin aku boleh menjawab kerana ini kerana itu. Namun apabila sampai kepada Imam Hassan as., aku hanya mengetahui bahawa Imam Hassan as. berada di lorong-lorong Madinah dan hadir ketika kejadian tamparan kepada Ibunya dahulu, atau Imam Hassan as. syahid dikeranakan racun yang diletakkan oleh isterinya sendiri, ataupun Imam Ali as. telah berkata kepada Imam Hassan as. : Hasanku sayang, jika kamu mahu menjalankan qisas kepada pembunuhku maka hanya dengan satu pukulan, dan hanya ini…..
Kini tiba syahadah Imam Sodiq as., Imam yang mazhabku terkenal dengan namanya, mazhab Jaafari!... apakah yang patut aku lakarkan berkenaan dengannya, apa yang aku patut tuturkan berkenaan musibahnya?...diri kerdil ini terlalu jahil untuk bercakap mengenai Imam besar ini…



Namun, ringkasan daripada apa yang aku temui daripada kitab-kitab atau bahan-bahan bacaan berkenaan Imam Sodiq as., akhirnya artikel ini dengan segala kekurangan dan dengan harapan diterima oleh Imam tercinta as. disembahkan kepada semua.
Nama Imam Sodiq as., Jaafar, gelarannya Sodiq dan nama panggilannya Abu Abdillah. Ayahnya, Imam Muhammad Al-Baqir as. dan ibunya Ummu Farwah. Hari kelahiran beliau as. adalah pada 17 Rabiul Awal tahun 83 Hijrah Qamariah di Madinah. Zuriat peninggalan Imam Sodiq as. adalah 10 orang, 7 lelaki dan 3 perempuan, salah seorang daripadanya adalah Imam Musa Al-Kazhim as.
Masa keimamahan Imam Sodiq as. bersamaan dengan zaman akhir pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan pemerintahan Abbasi, maka oleh kerana zaman tersebut antara zaman yang paling sesuai dan terbaik, Imam Sodiq as. memiliki ramai pelajar yang menuntut ilmu daripadanya.
Pelajar-pelajar Imam Sodiq as. boleh dibahagikan kepada dua kumpulan : tanpa perantaraan (seperti Malik Bin Anas, Abu Sufyan Thuri dan Jabir Bin Hayyan) dan dengan perantaraan (umpama Imam Syafie dan Abu Hanifah). Sebab kenapa Mazhab kita digelar dengan Mazhab Jaafari adalah kerana Imam Sodiq. Mempunyai ramai pelajar dan banyak hadis-hadis daripadanya yang sampai pada kita, Imam Sodiq as. mempunyai banyak hak atas kita syiah-syiahnya.




Musibah Imam Sodiq as.

Khalifah Mansur Dawaniqi Mal’un sangat risau dan takut akan pergerakan-pergerakan Imam Sodiq as., maka dengan itu dia sentiasa menyakiti dan menyeksa imam as. dengan menggunakan kuasa pemerintahan yang dimiliki.

Dia telah memerintahkan menteri Madinah dan Makkah Hasan Bin Ziyad supaya membakar rumah Imam Sodiq as.. Dia telah mematuhi perintah tersebut dan membakar rumah Imam as. yang mana api tersebut telah merebak sehingga pertengahan rumah, Imam Sodiq as. keluar dan berjalan diantara api yang membara dan berkata :
Aku merupakan putera Ismail as. dimana anak-anaknya seperti urat nadi dan akar yang tersebar ke seluruh kawasan bumi dan aku juga merupakan putera Ibrahim Khalil as. (dimana api Namrud telah sejuk baginya dan diselamatkan).
Satu malam, dengan arahan Mansur Imam Sodiq as. pada pertengahan malam dengan kepala tanpa amamah dan pakaian luar telah dibawa menemuinya, Mansur dengan penuh kemarahan dan tidak sopan berkata kepada beliau as. :
Wahai Aba Jaafar, adakah kamu tidak malu dengan umur sebegini ingin merampas pemerintahanku dan mencetuskan fitnah dan permusuhan antara kaum muslimin?
Kemudian dia mengeluarkan pedang dan menghalakannya ke arah Imam as. untuk menghentak leher Imam as., namun tiba-tiba dia melihat Rasulullah saww. berdiri dihadapannya, maka dia menyimpan semula pedang kedalam sarungnya, dan ini telah berulang sebanyak 3kali, oleh itu, Mansur membatalkan hasratnya untuk membunuh Imam as.. dan akhirnya Mansur menggunakan anggur beracun untuk membunuh Imam as..
Terdapat banyak riwayat berkenaan bulan kesyahidan Imam Sodiq as.. Sebahagian mengatakan 25 Syawal dan sebahagian yang lain mengatakan pertengahan bulan Rejab, namun riwayat 25 Syawal lebih masyhur. Namun berkenaan tarikh wafat Imam as., para ahli sejarah Syiah dan Sunni bersepakat mengatakan pada tahun 148 Hijrah. Masa keimamahannya adalah selama 34 tahun. Masa kesyahidannya juga bersamaan tahun ke12 pemerintahan Mansur.



Begitu juga, para penulis dan ahli sejarah Syiah mempercayai bahawa wali Madinah atas arahan Mansur Abbasi telah meracuni Imam as. dengan racun dan mensyahidkannya. Kaf’ami didalam kitab Mishbah meriwayatkan bahawa Imam as. diracuni dan syahid dengan anggur baracun, begitu juga sebahagian daripada para penyelidik Ahli Sunnah juga meriwayatkan bahawa kesyahidan Imam disebabkan oleh racun seperti penulis-penulis kitab Is’af Ar-Raghibin, Nur Al-Abshar, Tazkirah Al-Khawash, As-Showa’iq Al-Muhriqah.
Kewafatan Imam as.
Telah diriwayatkan daripada beliau as.ketika dalam keadaan telah hampir dengan kewafatannya yang berkata :
Aku beriman kepada Allah, dan aku kufur kepada Thagut, Ya Allah ya Tuhanku peliharalah aku didalam tidur dan jaga (kiamat).
Upacara pengebumian jenazah Imam as. sangat luar biasa yang mana didalam sejarah para Imam as. yang lain tidak pernah berlaku. Umat Islam, kafir, syiah dan sunni semua turut hadir dalam upacara duka tersebut.
Telah diriwayatkan daripada kitab Mishkah Al-Anwar bahawa seorang lelaki yang merupakan salah seorang sahabat Imam as. telah pergi menemui Imam as. ketika Imam as. dalam keadaan sakit (yang menyebabkan kewafatannya),lelaki tersebut menangis pilu apabila melihat keadaan Imam as. yang tersangat kurus dan lemah yang mana boleh dikatakan Imam as. tidak lagi memiliki apa-apa daripada tubuh badannya kecuali kepala.
Imam as. berkata : kenapa kamu menangis? Dia berkata : adakah aku tidak patut menagis apabila melihat keadaan Tuan begini. Berkata as. : Janganlah menangis, sesungguhnya seorang mukmin itu apabila setiap perkara yang menimpanya baginya adalah kebaikan, jika anggota badannya terpotong, baginya kebaikan dan jika dia memiliki kekayaan utara dan barat juga baginya kebaikan.
Syeikh Thusi daripada Salamah, hamba Imam Sodiq as. meriwayatkan bahawa berkata : Aku berada disisi Imam Sodiq as. ketika Imam as. pengsan dan ketika beliau as. kembali sedar, berkata as. : berikan kepada Hasan Bin Ali Bin Ali Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib as. yang terkenal dengan Afthas, 70 syiling emas, berikan kepada fulan dan fulan sebanyak fulan ini, aku berkata : kamu ingin berikan kepada seorang lelaki yang menentang kamu dengan parang dan ingin membunuhmu? Berkata as.: Adakah kamu berkehendak aku tidak menjadi salah seorang daripada mereka-mereka yang Allah puji disebabkan silaturrahim yang mereka lakukan, yang mana Allah swt. berfirman tentang sifat-sifat mereka :
Dan mereka yang melakukan apa yang diperintah oleh Allah (menjaga silaturrahim) , takut akan Tuhannya dan gerun atas hari perhitungan yang buruk.
Kemudian berkata as. : Wahai Salamah, sesungguhnya Allah swt. telah menciptakan syurga dan menjadikannya harum mewangi dimana bau wangi tersebut dapat dihidu walau sejauh dua ribu tahun. Bau tersebut tidak akan dapat dihidu dan ditemui oleh mereka yang derhaka kepada ibu bapa dan mereka yang memutuskan hubungan silaturrahim dengan keluarga.
Syeikh Kulaini telah meriwayatkan daripada Imam Musa Kazhim as. bahawa berkata as.: Aku telah mengafankan ayahku dengan dua kain putih buatan mesir dimana kain tersebut telah digunakan sebagai ihram, sepasang baju dan amamah yang telah diwarisi daripada Imam Zainul Abidin as. serta sehelai kain buatan Yamani yang telah dibeli dengan 40 dinar emas.
Syeikh Saduq telah meriwayatkan daripada Abu Bashir yang berkata : Aku telah pergi menemui Ummu Hamidah, isteri Imam Sodiq as. bagi mengucapkan takziah, kemudian beliau menangis dan aku juga turut menangis dikeranakan tangisannya. Selepas itu beliau berkata : Wahai Abu Muhammad, jika kamu melihat Imam Sodiq as. ketika waktu kewafatannya,sesungguhnya kamu akan melihat perintah yang ajaib. Beliau as. telah membuka matanya dan berkata : bawakan aku mereka-mereka yang ada hubungan kerabat dan kekeluargaan denganku.
Maka kami semua yang merupakan keluarganya hadir disisinya, Imam as. melihat ke arah kami semua dan berkata :
Syafaat kami tidak akan sampai kepada mereka yang meringankan sembahyang.
Imam Sodiq as. telah dikebumikan di perkuburan Baqi’ bersebelahan Imam Hasan Mujtaba as., datuknya Imam Ali Zainul Abidin as., ayahnya Imam Muhammad Baqir as. dan Imam Sodiq as. merupakan Imam terakhir yang dikebumikan di Baqi’. Selepas beliau as. semua Imam as. dikebumikan di bumi Iraq kecuali Imam Ali Ar-Ridha as yang telah dikebumikan di bumi Khurasan, Iran.



Antara hadis daripada Imam Sodiq as.
Imam Sodiq as. berkata : Ibadah yang terbaik adalah yang diiringi dengan berfikir berkenaan Allah dan kekuatannya.
Imam Sodiq as. : Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak kenal Imam zamannya, maka dia mati dalam keadaan jahiliyah.
Takziah diucapkan kepada seluruh Ummat Islam atas pemergian Imam agung as. ini, khusus kepada Imam Zaman Hujjat Ibnil Hasan ajf... Hanya doa supaya diberi kesabaran menghadapi musibah dan kedukaan ini kita iringkan.

Atas Muhammad wa Aali Muhammad Salawat...
Eltimasi Doa

Seyyed Abal Fazl Ben Yahya

Khidmat Imam Zaman (as)

Monday, September 7, 2009

Mengenal Bulan Tuhan




Perkara pertama yang patut dilakukan berhubung dengan “Bulan Mubarak Ramadhan” adalah mengenal bulan ini dengan benar, pengenalan yang diambil daripada Al-Quran dan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Ilahi kepada manusia. Berturutan daripada ini, seorang manusia yang beriman, bagi menghadapi bulan ini pasti akan berusaha untuk mengetahui apakah sebenarnya Bulan Ramadhan dan pasti tidak akan lupa untuk mengumpulkan segala makrifat yang perlu berkenaan makam dan kelebihan bulan ini.

Sepertimana Imam Ali Zainul Abidin as yang memohon dan merayu makrifat daripada Tuhannya:

Tuhanku selawat buat Muhammad dan ahli keluarga Muhammad dan ilhamkanlah kami makrifat kelebihan Bulan Ramadhan dan ketinggian kehormatannya...(Sahifah Sajjadiyah/doa155)

Dalam usaha mengenal dan mengumpul makrifat itu sendiri merupakan suatu nikmat yang besar yang membuka jalan luas untuk menyiapkan manusia berhadapan dengan bulan mulia. Hakikatnya, pengenalan dan makrifat ini menunjuk manusia bagaimana menjalani bulan yang penuh keberkatan, maghfirah(keampunan) dan nikmat ini dengan sebaiknya. Anas Bin Malik meriwayatkan:

“Ketika sampai bulan Ramadhan, Rasulullah saaw bersabda: Maha Suci Allah, ketahuilah apa yang kamu menyambutnya dan apa yang akan menyambut kamu, dan Rasulullah saww mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Bihar, j93, m/s347)

Abi Mas’ud Ansori meriwayatkan bahawa Rasulullah saww bersabda:

“Jika hamba mengetahui apa yang telah ditetapkan pada bulan Ramadhan, pasti dengan sepenuh hati akan mendambakan sepanjang tahun merupakan bulan Ramadhan.” (Bihar, j93, m/s346)


Mengenal dan Memahami Bulan Ramadhan Punca Syukur Kepada Ilahi

Mengenal rahsia sebenar bulan Ramadhan mengenalkan kita kepada keberkatan, jutaan hadiah dan pemberian Rabbani dalam bulan ini.

Suatu nikmat yang besar yang tidak diragukan lagi bagi setiap orang yang berjaya memanfaatkan sebaik mungkin bulan ini, yang berjaya membuka pintu kebahagiaan dan makrifat serta berjaya mendapatkan piala ketaqwaan dengan penuh bangga. Satu nikmat yang amat berharga yang tiada galang gantinya. Maka amat sesuai bagi setiap yang telah mencapai nikmat besar ini untuk bersyukur kepada Tuhannya:

“Jika kamu mengetahui apa yang telah ditetapkan bagi kamu pada bulan Ramadhan, kamu pasti akan memperbanyakkan mengucapkan syukur kepada Allah.” (Wasail As-Syiah, j6, m/s174)


Bulan Mubarak

Salah satu daripada sifat-sifat bulan Ramadhan yang terdapat dalam sebahagian daripada riwayat-riwayat dan doa-doa adalah sifat “Mubarak”. Sebagai contoh sebahagiannya:

1) Rasulullah saww bersabda: “Telah datang ke sisimu bulan Ramadhan, bulan mubarak, satu bulan di mana Allah Subhanahu Taala telah mewajibkan ke atasmu ibadah puasa.” (Tahzib Al-Ahkam, j4, m/s152)

2) Imam Ali as meriwayatkan bahawa pada satu hari Rasulullah saww telah bersabda: “Wahai manusia, telah datang pada kamu bulan Allah yang diiringi dengan barakah(keberkatan), rahmat dan maghfirah (keampunan).” (Wasail As-Syiah, j7, m/s227)

3) Salman Al-Farisi berkata bahawa Rasulullah saww telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban sambil bersabda: “Bulan Ramadhan telah muncul, satu bulan mubarak, satu bulan yang di dalamnya terkandung Lailatul Qadar yang fadhilatnya melebihi kebaikan seribu bulan.” (Mustadrak Al-Wasail, j7, m/s429)

4) Telah diriwayatkan daripada Rasulullah saww bahawa baginda pada setiap malam pertama bulan Ramadhan akan berdoa: “Syukur ke hadrat Ilahi yang telah memuliakan kami dengan bulan mubarak.” (Mustadrak Al-Wasail, j7, m/s446)

5) Diriwayatkan bahawa Imam Sodiq as pada malam terakhir bulan Syaaban dan malam pertama bulan Ramadhan membaca doa: “Wahai Tuhanku, telah hadir bulan mubarak ini yang Dikau turunkan di dalamnya Al-Quran, dan Dikau jadikannya petunjuk bagi manusia, penerang jalan hidayah serta pemisah antara hak dan bathil. (Al-Iqbal Bi Al-A’mal Al-Hasanah (Iqbal Syed Ibni Thawus, bab3, bhg4)

Gelaran Mubarak bagi bulan Ramadhan telah dikenali sebagai sifat yang paling mahsyur bagi bulan ini.


Makna Barakah dan Mubarak

Ulama bahasa memaknakan ((Barakah)) dengan makna - banyak dan membesar, diiringi dengan kukuh dan berkekalan.

Di dalam kitab Lisan Al-Arab terdapat riwayat yang dikutip daripada Ibnu Abbas yang menerangkan maksud barakah: ((Makna barakah adalah banyak dalam setiap perkara yang baik)). (Lisan Al-Arab/j1)

Namun Mubarak, digelar kepada sesuatu yang terdapat di dalamnya kebaikan yang banyak dan kebaikan itu cemerlang dan tersebar daripadanya. Zujjaj berkata: ((Mubarak adalah sesuatu yang keluar daripadanya kebaikan yang banyak)). (Lisan Al-Arab/j1)



Rahsia Mubarak Bulan Ramadhan

Tidak ada keraguan bahawa setiap sesuatu sama ada mubarak atau tidak, berfaedah atau tidak, apabila ia ada hubungkait dengan manusia, maka ia mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan dan perspektif wujud manusia serta hubungan sempurna dengan maslahat-maslahat hidupnya. Oleh sebab itu, bagi memahami mubaraknya bulan Ramadhan dan barakahnya ia bagi manusia maka perlu diberi perhatian dan difikirkan perkara-perkara dibawah:

1- Hakikat hidup dan wujud manusia selain berasal daripada campuran unsur kebendaan dan kehidupan kehaiwanan, manusia juga mempunyai unsur spiritual dan kehidupan insani. Unsur maknawi dan kemanusiaan ini adalah satu pemberian yang menjadikan manusia makhluk yang terbaik. Ini dijelaskan oleh Allah swt di dalam Surah Mukminun/14 dan surah Hajr/29.

Unsur wujud yang terbaik dan hakikat yang tertinggi yang membina asas kewujudan dan permata kehidupan seorang manusia adalah ruh dan jiwa insani yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk yang lain. Selain dari nyawa yang juga terdapat pada lembu dan keldai, manusia telah dikurniakan akal dan jiwa yang berbeza. Tatkala permata berharga ini hilang, manusia akan jauh dari kehidupan insani dan makamnya hanyalah seperti haiwan-haiwan lainnya.

2) Keperluan fizikal hidup seorang manusia juga seperti keperluan kehidupan haiwani lainnya, tatkala tidak dipenuhi maka tidak mungkin kelangsungan hidupnya dapat dijaga dan dipelihara. Sisi kehidupan insani dan spiritual seorang insan juga begitu. Ia mempunyai keperluan dan kecenderungan asasi. Bagi menjaga dan memeliharanya kita perlu menyediakan dan memenuhkan sesuai dengan keperluannya.

Adalah jelas bahawa keperluan antara dua unsur wujud ini berbeza, bersesuaian dengan perbezaan mereka; pemakanan, pembesaran dll. Unsur haiwani dan fizikal manusia, memerlukan sesuatu yang daripada unsurnya sendiri. Namun kita seringkali lupa dan lalai bahawa unsur spiritual, roh, dan wujud insani kita memerlukan sesuatu yang dari unsurnya sendiri juga.

3) Oleh itu, tujuan dan matlamat bulan Ramadhan adalah bagi mendidik, membesarkan dan meninggikan jiwa. Untuk memenuhi keperluannya, kita perlu kembali kepada unsur-unsur selain daripada unsur-unsur yang hanya menyempurnakan keperluan badan luaran.

Hakikatnya, tujuan asal dan natijah akhir berpuasa yang telah diwajibkan pada bulan Ramadhan adalah agar kita bertaqwa. Allah swt berfirman di dalam Surah Baqarah/183:

“Wahai mereka yang telah beriman, telah tertulis bagi kamu kewajipan berpuasa; sepertimana telah diwajibkan bagi mereka sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Taqwa memelihara dan mengawal kemahuan-kemahuan haiwani dan nafsu manusia. Segala kelebihan yang dimiliki bulan Ramadhan bagi mempertingkatkan, memperbaiki dan memperindahkan unsur hakiki dan permata asli wujudnya manusia hanya dapat menjadi kenyataan apabila manusia mampu mengawal dan mengimbangkan kemahuan-kemahuan haiwani dan nafsunya serta mempertingkatkan kekuatan ruh bagi berhadapan dengan tarikan-tarikan nafsu yang membusuk.




4) Bagi memenuhkan keperluan hidup maknawi, menguatkan, mendidik dan menyenangkan ruh, insan memerlukan hubungan bulan Ramadhan ini dengan hidupnya. Walau bagaimanapun, kesan dan faedah kewajipan berpuasa pada bulan ini seperti kewajipan-kewajipan lain bukan sahaja terhad kepada unsur maknawi, malah juga menyediakan keuntungan dan keberkatan duniawi bagi individu dan masyarakat. Namun, tujuan asli, tugas asasi dan kesan penting bulan Ramadhan adalah kehidupan maknawi dan jiwa insani.

Maka, daripada ini, dapat kini difahami kepentingan bulan mubarak ini. Muhammad Bin Muslim telah meriwayatkan daripada Imam Baqir Alaihissalam:

“Allah swt mempunyai malaikat yang tugas mereka beristighfar, memohon keampunan bagi mereka yang berpuasa, setiap hari sepanjang bulan Ramadhan sehingga berakhir bulan ini dan setiap malam ketika tiba waktu berbuka mereka akan menyeru orang-orang yang berpuasa: Berbahagialah wahai hamba-hamba Allah, sedikit rasa lapar yang telah kamu rasakan dan dengan segera kamu akan kembali kenyang. Tahniah kepada kamu dan apa yang ada pada kamu.” (Wasail As-Syiah, j6, m/s176)


Imam Ja’far as berkata: “Tidurnya orang yang sedang berpuasa itu adalah ibadah,diamnya adalah tasbih,amalnya diterima & doanya dikabulkan.”
“Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan; kegembiraan di saat berbuka & kegembiraan di saat bertemu dengan Tuhannya”
Imam Ali pada berkata pada salah satu hari raya: “Sungguh hari ini adalah hari raya bagi yang ALLAH terima puasanya dan ibadah malam harinya. Setiap hari dimana perintahnya ALLAH swt tidak dilanggar maka hari itu adalah hari raya.”



Ya Aba Soleh Eltimasi Doa
Fatimah Az-Zahraa
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: heyatt_arredza@yahoo.co.uk

Saturday, August 22, 2009

Marhaban Ya Syahru Ramadhan




Imam Ja'far (as) berkata: "Tidurnya orang yang sedang berpuasa itu adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, amalnya diterima dan doanya dikabulkan."

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak!

May Almighty ALLAH accepts our amal and we will be closer to Him..Ya ALLAH..!

Thursday, August 6, 2009

Majlis Wiladah al-Imam Muhammad al Mahdi (as)




Hari kelima belas bulan mubarak Syaabanil Muazzam dengan penuh taufiq bersamaan hari kegembiraan, kelahiran maufurul saadah, wali segala nikmat kemanusiaan, khalifah ar-Rahman, Syarik al-Quran, Imam seluruh manusia dan jin, Kashiful Ahzan, Hujjah Tuhan ke atas hamba-Nya dan Baqiyatullah di bumi-Nya, Pemimpin yang kedua belas, Penjaga rahsia-rahsia Rabbul Alamin, Pewaris ilmu-ilmu kenabian, Hujjatibnil Hassan Arwahuna wa Ajsamuna wa Arwahul Alamin Liturabi Muqaddimahul Fida’.

Tuhanku, limpahkan salam dan selawat-Mu ke atas Maula yang akan bangun dengan perintah-Mu, beliau yang telah ghaib dari kalangan ciptaan-Mu, beliau yang menanti keizinan-Mu dan beliau yang mengukuhkan segala yang benar serta membatalkan seluruh kebathilan. Tuhan kami, ubahkanlah perpisahan dan kejauhan antara kami dan Maula kami ini dengan pertemuan dan penyatuan dan demi kemuliaan-Mu runtuhkanlah hijab keghaiban darinya.

Kenapa bulan ini disebut dengan Syaaban? Ini adalah kerana pada bulan ini manusia akan tergolong pada dua golongan: golongan “Mukminin” dan golongan “Fasiqin”. InsyaAllah, moga-moga kita tergolong dalam kelompok yang pertama. Syaaban merupakan salah satu daripada bulan yang mulia dan bulan ini telah dinisbatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasallam. Baginda saww, sepanjang bulan ini akan berpuasa dan menyambungkannya dengan puasa-puasa bulan Ramadhan. Rasulullah saww bersabda: “Syaaban adalah bulanku dan barangsiapa yang berpuasa satu hari daripada bulan ini maka wajib baginya syurga”. Namun begitu, sudah pasti perkara ini akan menjadi kenyataan dengan syarat seseorang itu bertaubat dari segala maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan pada masa lalu dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jangan kita sampai menjadi seperti orang yang melakukan semua jenis dosa kecil dan besar (wal’ayazubillah) kemudian berkata, tidak mengapa kerana bulan Syaaban telah tiba, aku akan berpuasa dan aku akan disucikan dengan kemuliaan bulan ini, selepas daripada itu (wanastajirubillah) kembali kepada maksiat seperti biasa. Tidak, bukan begini, ini kerana terdapat riwayat bahawa: seseorang yang bertaubat daripada dosa, kemudian kembali melakukan dosa tersebut selepas bertaubat, insan sebegini hanya mempersendakan dirinya sendiri.




Berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Syaaban, Muhaddis Qummi telah meriwayatkan dari Shafwan Jammal yang berkata: Imam Abu Abdillah as-Sodiq Alaihissalam telah berkata kepadaku : “Wahai Shafwan, doronglah mereka yang bersamamu agar berpuasa pada bulan Syaaban”. Shafwan berkata kepada Imam Sodiq as: “Aku ada satu permintaan. Diriku korbananmu wahai Putera Rasulullah saww, adakah kamu membayangkan bagi seorang yang berpuasa di bulan Syaaban sebuah kelebihan dan sesuatu makam?” Imam Sodiq as berkata: “Ya. Setiap kali baginda Rasulullah saww terpandang anak bulan Syaaban, baginda saww. akan bersabda kepada utusannya di Madinah supaya menyeru: Wahai Ahli Madinah, aku mempunyai satu pesanan daripada Rasulullah saww bahawa Rasulullah saaw mengarahkan aku untuk menyampaikan kepada kamu semua--Ketahuilah bahawa bulan Syaaban adalah bulanku dan Allah swt akan mengurniakan rahmatNya yang luas bagi sesiapa yang dengan berpuasa menolong dan mempertahanku—.“ Kemudian Imam Sodiq as. menyambung: “Wahai Shafwan, Maulayil Mawali Ali Ibni Abi Thalib Alaihimassalam berkata: Dari detik aku mendengar suara utusan Rasul saww berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Syaaban, maka aku tidak melupakan berpuasa di bulan ini dan tidak akan pernah melupakannya juga pada masa akan datang sehinggalah aku masih hidup di dunia ini.”

Rasulullah saww pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling baik di bulan Ramadhan?” Rasul saww menjawab: “Pertamanya, bersedekah dan yang kedua, beristighfar daripada melakukan maksiat”.
Antara malam-malam mubarak di bulan Syaaban adalah malam pertengahannya di mana diriwayatkan: “Selepas daripada malam-malam lailatul qadar, malam-malam yang terbaik adalah malam kelima belas Syaaban di mana khalifah Tuhan di bumi, Qaim Aali Muhammad ruhi wa jasadi lahul fida’ dengan kelahirannya, menambahkan kemuliaan dan kelebihan malam ini.”

Hari kelahiran Imam Zaman Ajjalallahu Farajah adalah pada tahun 255 Hijrah di Samarra’ dengan keizinan Tuhan dan kekuatanNya. Nama dan gelaran beliau seperti nama Rasulullah saww. Namun begitu pada zaman keghaiban beliau, kita tidak dibenarkan untuk menyebut nama dan gelaran beliau dengan nama dan gelaran tersebut, malah terdapat riwayat yang banyak dan muktabar antaranya: “Tidak harus bagi seseorang menyebut beliau dengan nama dan gelaran khusus sehingga satu zaman dimana beliau bangun dan memenuhkan bumi dengan keadilan sepertimana ia telah penuh dengan kezaliman dan kejahatan.” Namun begitu, hikmah larangan ini kekal tersembunyi.

Nama dan panggilan Imam Zaman ajf adalah sama dengan nama dan panggilan Rasulullah saww. Ayahnya adalah Imam Askari Alaihissalam yang tidak mempunyai anak selain daripada Imam Zaman ajf. Lahirnya Imam Zaman ajf adalah secara tersembunyi dan rahsia. Hanya sebilangan sahaja yang mengetahui tentang kelahiran ini. Ibundanya bernama Narjis Salamullah Alaiha yang sering digelar Ummu Walad. Diriwayatkan bahawa Imam Zaman ketika kesyahidan ayahandanya hanya berumur 5 tahun. Namun, Allah swt telah menganugerahkannya meskipun umurnya masih kecil pintu-pintu hikmah dan petah berkata-berkata umpama Nabi Allah Isa as,, Allah swt telah menjadikannya sebagai petunjuk dan sebahagian dari tanda-tandaNya bagi semua hambaNya, Allah swt menganugerahkannya hikmah ketika ia masih kecil, umpama kisah Nabi Yahya as dan Imam as dinobatkan sebagai imam ketika masih kecil, namun ianya adalah secara zahir, ini adalah kerana Imam maksum as dalam setiap tahap umur tetap mempunyai makam keimamahannya sepertimana Nabi Musa as yang dijadikan sebagai nabi ketika masih di dalam buaian.

Sekarang mari kita perhatikan bagaimana putera suci ini dilahirkan ke dunia dari cerita wanita suci, Hakimah, puteri Imam Muhammad Taqi Al-Jawad Alaihissalam. Beliau merupakan salah seorang saksi kelahiran besar ini. Ia bercerita: Tatkala sang suria hampir terbenam, aku di waktu itu masih di rumah Imam Askari as dan ketika aku ingin beredar dari situ, beliau as berkata: “Makcik, malam ini tinggallah bersama kami dan bermalamlah di mana Allah swt akan mengurniakan kelahiran seorang pemilik karamah.” Aku bertanya siapa yang akan melahirkannya? Ia menjawab: “Narjis yang akan melahirkannya”.

Hakimah melanjutkan: Aku menghampiri ke sisi Narjis, namun aku tidak melihat tanda-tanda kehamilan daripadanya, kemudian aku merujuk semula kepada Imam Askari as seraya berkata: “Wahai putera Rasulullah, aku berada disisi Narjis sa akan tetapi aku tidak melihat sebarang tanda kehamilan padanya.” Imam as dalam keadaan tersenyum berkata: “Kehamilan Narjis akan kelihatan ketika terbitnya fajar nanti dan ketahuilah keadaan anakku adalah umpama keadaan Nabi Musa Alaihissalam tatkala kehamilan ibunya tersembunyi sehinggalah sampai waktu kelahirannya. Ini kerana Firaun akan mengoyak-ngoyakkan perut wanita-wanita yang hamil bagi menghalang kelahiran Nabi Musa as dan kelahiran bayi yang akan lahir ini juga adalah seperti Nabi Musa as.”




Hakimah menyambung: Pada malam itu, aku sentiasa berada di sisi Narjis dan menjaganya. Ia tidur sehinggalah hampir terbit fajar. Ia tiba-tiba bangun dalam keadaan tertekan dan aku memeluknya, dalam keadaan ini Imam Askari as menyapaku: “Wahai makcik, bacakanlah surah Al-Qadr.” Aku pun memulakan bacaan surah Al-Qadr, dan aku melihat Narjis sa juga turut membaca bersamaku. Aku berasa sangat tertekan, tiba-tiba Imam as berkata kepadaku: “Wahai makcik, janganlah terkejut dengan perintah Ilahi, kerana Allah swt dengan hikmah dan kekuatanNya yang sempurna telah menjadikan kami mampu berkata-kata ketika masih kecil dan menjadikan kami sebagai hujjahNya ketika dewasa. Ketika Imam Askari as menamatkan kata-katanya, tiba-tiba Narjis sa hilang dari pandanganku, umpama terdapat hijab antara aku dan beliau. Kemudian aku pun pergi menghadap Imam Askari as., namun beliau as. berkata: “Wahai makcik kembalilah, kamu akan menemui Narjis di tempatnya.”

Hakimah meneruskan: Tiada lagi hijab ketika aku kembali ke sisi Narjis dan aku terpaku memandangnya. Ketika itulah aku melihat bayi suci yang sedang sujud dan jarinya diarahkan ke arah langit dan berkata: “Asyhadu Alla Ilaha Illallah Wahdahu La Syarikalah Wa Anna Jaddi Rasulullah Wa Anna Abi Amirul Mukminin wa Wasiyyu Rasulillah.” kemudian beliau as menyebut semua nama para Imam maksum Alaihimussalam sehinggalah sampai kepada dirinya sendiri maka beliau ajf berkata: “Tuhanku, penuhilah janji pertolonganmu kepadaku, sempurnakanlah perintah kekhalifahan dan keimamahanku, menangkanlah aku ke atas para musuh dan penuhilah bumi dengan keadilan dengan tanganku.” Kemudian Imam Askari as memangil: “Wahai makcik, bawakan kepadaku puteraku.” Ketika aku pergi ke sisinya supaya dapat aku mendukungnya dan membawanya kepada Imam as, aku telah melihat di bahagian kanannya tertulis: “Kebenaran telah datang dan kebathilan telah hancur, sesungguhnya takdir kebathilan hanyalah kehancuran”. (al-Isra’:18)

Hakimah berkata lagi: Aku membawa bayi suci tersebut kepada Ayahandanya Imam Askari as, beliau ajf menyampaikan salam kepada ayahandanya. Imam as mengambil dan mengucupnya. Imam as meletakkannya di atas tangan kirinya dan tangan kanan pula mengusap kepala bayi suci tersebut.

Setakat ini kita telah membahaskan tentang kelebihan bulan Syaaban dan kelahiran Imam Mahdi ajf. Hari ini, hari kelahiran Imam kita. Hari kegembiraan bagi semua umat Islam. Hari kelahiran seorang Imam yang kita nantikan kezuhurannya. Namun, di sebalik kegembiraan ini, terdapat kedukaan yang masih belum tersembuhkan, kedukaan atas kejauhan, perpisahan dengan keghaiban Imam yang dicintai. Dengan keghaiban Imam ini, kita merupakan muntazirnya (orang yang menanti), dan penantian ini bukanlah hanya satu laungan atau hanya tinggal nama, bahkan ia hendaklah diikuti dengan rasa satu tangungjawab.



Adakah kita seorang muntazir yang setia sementara di dalam tempoh setahun hanya sehari kita mengingati Imam. Atau kita tergolong dalam kelompok yang setiap detik, saat, minit, jam dan saban harinya memohon, mendoakan dan memperbaiki diri serta menyediakan tapak bagi kezuhuran Imamnya? Adakah solat-solat wajib yang ditunaikan kita sertai dengan doa agar disegerakan kezuhurannya. Apakah ketika kita meneguk air, terlintas di benak kita akan namanya sedang ia pemelihara mata air hidayah Tuhan sekalian alam. Apakah ketika kita mengunyah makanan untuk meneruskan hidup, kita ada mengingatinya? Sedang ia tidak lekang mengisi bekal rohani kita. Tidakkah kita mengetahui sebuah hadis yang sering dikumandangkan bahawa tanpanya, bukan hanya air dan makanan, bahkan bumi dan seluruh isinya pasti berguguran. Adakah ketika kita memikirkan masa yang akan kita tempuhi, kita akan terfikirkan tentang kezuhurannya? Adakah ketika kita melihat matahari terbit setiap pagi, kita juga akan mengingati tentang indahnya matahari takkan kekal tanpa wujudnya sambil kita mengucap salam serta solawat kepadanya? Adakah kita rasa terluka dan berduka ketika setiap kali matahari terbenam, siang kini telah bertukar malam dan telah tamat satu hari lagi di mana beliau as belum lagi zuhur? Adakah kita memikirkan dan mengharapkan setiap kali hendak melelapkan mata setiap malam agar Allah swt menjadikan subuh esoknya ketika kita bangun untuk menunaikan solat kita mendapati Imam juga telah zuhur dan kini tiada lagi ghaibat kubra yang dilalui selama ini?

Wahai pencinta Imam as yang mewarnakan dan menerangkan rumah, husainiyah, hauzah, heyat dengan lampu sekali setiap tahun bagi menyambut hari kelahirannya. Tahukah kita setiap kali kita menunggang kenderaan dosa dan maksiat, maka ketahuilah kita telah memadamkan satu demi satu daripada lampu intizar (penantian) yang terdapat pada hati kita yang menghidupkan penantian kita selama ini.
Wahai yang menggelar dirinya sebagai yang menanti kezuhuran! Adakah kita tidak mahu mengetahui kenapa setiap kali terbenamnya matahari hari jumaat hati kita terasa perit dan sakit? Tahukah kita keperitan hari itu puncanya adalah dosa-dosa kita.

Wahai pencinta kezuhuran, tahukah kita, tatkala Imam Zaman ajf zuhur dan mendapati keadaan kita yang sebegini, apa yang akan beliau lakukan? Apakah kita bersedia untuk kezuhuran? Dengan langkah yang mana kita akan menyambut Tuan kita? Apakah dengan langkah yang sama di mana beberapa detik yang lalu ia berlalu dalam kemaksiatan dan menderhaka kepada Allah, Tuhan kita dan Tuhan kepada Mahdi kita?

Wahai penanti kezuhuran, dengan tangan yang mana yang kita letakkan di dada dan melaungkan “Ajjil ‘Ala Zuhurak”? adakah dengan tangan yang sama yang kotor bergelumang dengan dosa? Dengan hati yang mana kita memohon kezuhuran? Apakah dengan hati yang sama yang dipenuhi dengan hasad dengki, marah dan dendam? Dengan hati yang mana, kita memohon Allah swt memberikan kita semula HujjahNya? Apakah dengan hati yang sama yang penuh dengan kealpaan, kejahatan dan kekotoran? Adakah dengan hati yang sama yang menyebabkan kemurkaan Tuhannya? Dengan mata yang mana kita meneliti kezuhuran? Apakah dengan mata yang sama yang melihat yang bukan mahram dan yang diharamkan? Dengan telinga yang mana kita menunggu seruan ketika kezuhuran nanti? Apakah dengan telinga yang sama yang mendengar segala kejelekan? Dengan lidah yang mana kita hendak melaungkan kezuhuran? Apakah dengan lidah yang sama yang kita gunakan untuk mengumpat dan sebagainya? Manusia ketika mana masih berada dibawah kawalan syaitan dan tidak mampu untuk melawannya, maka dia belum merupakan seorang muntazir yang hakiki. Sekarang kita dikelilingi dengan semua nikmat dan kemudahan, namun kita terasing. Semoga Allah swt jauhkan kita daripada kealpaan yang menyebabkan kita jauh dari segala nikmat yang hakiki. Semoga kita tidak hanya bersenang dengan yang zahir dan lupa tentang asal dan tugas sebenar kita. InsyaAllah kita dapat menggunakan peluang yang diberikan untuk berusaha, berusaha untuk menjadi muntazir hakiki Imam ajf dan dapat menyediakan tapak untuk kezuhurannya. Dan insyaAllah setiap langkah hidup kita, kita akan lebih dekat dengan Tuhan Rabbul Alamin.

Antara ibadah yang dianjurkan pada malam 15 Syaaban adalah ziarah Imam Husain as. Kenapa kita dianjurkan untuk tidak meninggalkan ziarah Husain as pada malam ini, sedangkan malam ini malam kelahiran Baqiyatullah ajf? Ya, jangan kita lupa, Imam Husain as merupakan seorang ayah, seorang ayah yang syahid dengan bibir yang kering dahaga, dan Imam Zaman ajf adalah seorang anak yang akan menuntut bela akan darah ayahnya. Dan ini adalah hak yang diperuntukkan di dalam firman Allah: “Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan kekuasaan kepada ahli warisnya..” – (Surah al-Isra’:33).


Kita akhiri kalam dengan kata-kata Imam Sodiq as yang merintih sayu akan kejauhan dan keghaiban puteranya al-Mahdi ajf. Imam Sodiq as menyeru puteranya dengan gelaran tuan dan berkata: “Duhai tuanku, kejauhanmu darimu, derita yang kutanggung bagai musibah sepanjang zaman”.

Ya Allah dengan kebesaran Muhammad dan ahli keluarga baginda, percepatkanlah kezuhuran Imam Zaman kami dan dengan kezuhurannya terangkan hati kami dan tunjukkan kami jalan menujuMu serta kebahagiaan yang abadi.

“Ya Allah, kenalkan daku akan Diri-Mu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan DiriMu maka aku tidak akan mengenal nabi-Mu. Ya Allah, kenalkan daku akan nabiMu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan nabi-Mu maka daku tidak akan mengenal hujjahMu. Ya Allah, kenalkan daku akan hujjah-Mu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan hujjah-Mu daku pasti tersesat dari jalan agamaku”.

Limpahan selawat dan salam buat junjungan Rasulullah saww serta ahli keluarga baginda yang bersih lagi suci dari noda dan dosa, khususnya buat Pemimpin dan Imam zaman kami. Allahumma Ajjil Liwaliyikal Faraj. Ya Allah, percepatkan kezuhuran Hujjah-Mu!!



Eltimasi Doa
Seyyed Abal Fazl Ben Yahya
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com
http://www.arridha.com

Wednesday, July 29, 2009

The song Love of Ali........

Saturday, July 25, 2009

Abbas: Kelahiran Pembela Yang Berani




Sepuluh tahun berlalu sejak junjungan Rasul dan Bonda Fatimah kembali ke rahmat Ilahi. Imam Ali as berhajat mengambil seorang isteri, dengan tragedi Asyura sebagai tujuan dan timbangannya. Ia lalu meminta kekandanya ‘Aqil yang mahir dalam ilmu nasab dan keturunan serta sangat mengenal selok belok qabilah, peribadi dan akhlak mereka. Ia berkata pada Aqil: “Carikan aku seorang isteri yang berkemampuan, daripada qabilah yang para datuknya adalah kalangan yang berani dan disukai masyarakat. Agar wanita seperti ini, dapat memberikanku anak yang berani, kuat dan bijak.”

Selepas beberapa waktu, Aqil telah mengenalkan seorang wanita dari Kabilah Bani Kilab kepada Amirul Mukminin as. Kabilah Bani Kilab dikenal kerana keberanian dan sikap kesatrianya. Wanita tersebut menepati kesemua ciri-ciri yang diidamkannya. Namanya Fatimah, puteri Hizam bin Khalid dan semua keturunannya mulia dan dicintai masyarakat. Ibunya pula dari salasilah keluarga yang mulia dan tinggi pula kedudukannya.

Gadis yang mulia ini telah diperistrikan oleh Imam Ali. Perkahwinan ini diberkahi dengan kelahiran empat putera bijak: Abbas, Abdullah, Jaafar dan Uthman. Lantaran memiliki empat anak laki-laki inilah, Fatimah lantas dijuluki sebagai Ummul Banin, ibu anak-anak lelaki. Keempat-empat mereka kemudiannya telah gugur syahid di dalam tragedi pembantaian Karbala demi membela keluarga nabi dan agama Allah.

Abbas, seorang pembela, pahlawan dan perwira hebat telah dilahirkan di Madinah tanggal 4 Shaaban 26H. Abul Fadhl dikenal memiliki wajah yang rupawan dan tubuh yang kekar. Karena itu, ia dijuluki sebagai Qamaru Bani Hasyim, Rembulan Bani Hasyim. Mengomentari keistimewaan Abul Fadhl ini, Ibnu Shahre Ashub dalam kitab Manaqib menulis, "Dia mendapat gelar Rembulan Bani Hasyim karena keutamaan rohani dan jasmaninya, karena cahaya kehambaan dan keikhlasannya terpancar dari wajahnya".

Abbas bin Ali as, putera seorang wanita yang mengenal kebenaran dan mempunyai makrifat. Ia memiliki seorang ayah seperti Ali Bin Abi Thalib as dan di tangan takdir juga telah tertulis bahawa ia adalah wangian kesetiaan dan permata iman dan kesucian. Kelahiran Abbas telah menerangi dan mengembalikan harapan rumahnya Ali dan hatinya Maula. Kerana Ali tahu, nanti di Karbala, putera ini bakal memikul panji kebenaran, seorang pemuda yang gagah berani dan setia. Abbasnya Ali nanti akan berkorban demi membela Husainnya Fatimah.




Ketika ia lahir, Imam Ali as telah mengazankan dan mengiqamah ke telinganya, serta mengucapkan nama Allah dan RasulNya juga berkenaan Tauhid dan risalah agama. Ia diberikan nama Abbas pada hari ketujuh kelahirannya, mengikut sunnah Islam. Imam Ali as telah mengorbankan seekor kambing dan menyedekahkan dagingnya kepada faqir miskin.

Imam Ali as, di sebahagian waktu akan memeluk badan suci Abbas dan mengangkat lengan kecilnya ke atas kemudian mencium bahu-bahunya dan menitiskan air mata. Suatu hari, bondanya Ummul Banin menjadi bingung melihatkan gelagat suaminya. Imam as berkata: “Tangan-tangan inilah yang nanti akan terpotong tatkala ia menolong dan membantu kekandanya Husain. Tangisanku ini adalah untuk hari tersebut.”

Dengan kelahiran Abbas, rumah Ali berbaur kegembiran dan kesedihan: kegembiran atas kelahiran suci ini, serta kesedihan dan tangisan atas peristiwa yang akan dilalui sang bayi dan teman-temannya nanti di bumi Karbala.

Abbas bin Ali dilahirkan di sebuah rumah yang juga menjadi ruang ilmu pengetahuan dan hikmah. Selama 14 tahun, ia melewati masa-masa hidupnya bersama sang ayah, Imam Ali as, sehingga ia pun banyak belajar mengenai keilmuan, iman dan kesempurnaan dari ayahnya itu. Ia banyak belajar mengenai budi bahasa dan pandangan yang mendalam dari ayahnya. Imam Ali as sendiri memberikan perhatian khusus kepada putranya ini. Selain memberikan pendidikan ruhani dan spiritual. Imam Ali juga banyak memberikan pendidikan jasmani dan seni perang kepada Abbas.

Salah satu karakter utama Abbas bin Ali adalah kedekatan dan rasa sayangnya kepada sang abang, Imam Husain as. Sehingga Abbas pun banyak memperoleh pengaruh positif, dari segi keutamaan moral dan spritual dari kekandanya itu. Kedekatan dan kesetian Abbas bin Ali kepada kekandanya, Imam Husain terlihat nyata saat terjadinya tragedi Karbala.

Sejak kecil, kalbu Abbas bin Ali telah terikat dengan Sang Khaliq. Ghairah iman dan takwa beliau selalu berkobar di sepanjang masa hidupnya, sehingga perilaku dan tindakan beliau senantiasa dihiasi dengan akhlak yang mulia. Dari segi keilmuan dan spiritualnya, Abbas bin Ali dikenal sebagai tokoh yang amat bertakwa, berperilaku soleh dan menjadi kepercayaan masyarakat. Siapapun yang mengenalnya nescaya mengakui beliau sebagai seorang yang bijak dan mulia. Sikapnya yang terbuka dan ramah membuat siapapun tertarik kepada beliau.

Kebijaksanaan dan ketinggian ilmu Abbas bin Ali menjadikannya sebagai tempat rujukan umat meminta pandangan dan bermusyawarah. Ia juga dikenal memiliki pengetahuan agama yang mendalam, baik di bidang fiqih maupun akidah. Abal Fadhl atau Abbas bin Ali dijuluki juga sebagai Babul-Hawaij, seseorang yang memenuhi keinginan dan keperluan orang lain, lantaran kebiasaan beliau yang selalu membantu dan menolong orang yang memerlukan.

Abbas bin Ali adalah seorang yang amat rendah hati dan santun. Keteguhan, kesantunan, dan kesabaran Abbas bin Ali mengingatkan kita pada ucapan mutiara Imam Ali yang berbunyi, "Tiada warisan yang lebih mulia ketimbang akhlak". Ia tak pernah duduk tanpa meminta izin di hadapan kekanda-kekandanya seperti Imam Hasan as dan Imam Husain as. Dan selama 34 tahun masa hidupnya, ia senantiasa memanggil kedua kakaknya itu dengan sebutan wahai putra nabi atau wahai tuanku.

Sikap rela berkorban adalah karakter utama kepribadian Abbas bin Ali. Pengorbanan agungnya itu ia pentaskan dengan begitu indahnya di medan Karbala. Hingga masa-masa akhir hidupnya, ia masih menjadi penolong setia Imam Husain. Sampai-sampai tiap kali nama Imam Husain as disebut dalam mengenang peristiwa Asyura, maka nama Abul Fadhl pun akan terucap pula. Abbas bin Ali adalah pembawa bendera pasukan Imam Husain dalam peristiwa kebangkitan Karbala.



Ketika tragedi Karbala berkecamuk, saat Imam Husain dan keluarga nabi lainnya didera cengkaman dahaga, dengan gagah beraninya, Abbas bin Ali menerobos kepungan tentera musuh yang berusaha menghalangi pasukan Imam Husain dari memperoleh air dari sungai Furat. Setibanya di bibir sungai, ia menatap segarnya air sungai. Meski dahaga telah mencekiknya, namun ia mengurungkan niatnya untuk meneguk air lantaran teringat akan wajah kehausan Imam Husain, saudara-saudara, dan sanak keluarganya. Ia segera mengisi kantong airnya dan memacu kudanya kembali menuju perkhemahan Imam Husain. Namun di tengah jalan ia menjadi sasaran serbuan musuh, hingga kedua tangannya terpenggal dan ia gugur syahid.

Keberanian dan pengorbanan Abbas bin Ali ini menjadi contoh nyata ucapan Imam Ali, "Orang beriman yang paling mulia adalah dia yang lebih utama ketimbang orang beriman lainnya dalam mengorbankan jiwa, keluarga, dan hartanya untuk orang lain."

Pengorbanan Abbas bin Ali lahir dari makrifat dan pengetahuan mendalamnya terhadap agama dan cita-cita ilahi. Pengetahuan yang mendalam itu membentuk peribadinya sehingga mendorong beliau untuk rela berkorban di jalan Allah. Ia belajar dari ayahnya, Imam Ali as, bahwa hidup harus bertujuan. Karena itu alangkah mulianya jika hidup manusia dibaktikan di jalan ilahi, dalam menyebarkan dan meneguhkan nilai-nilai kemanusiaan dan memerangi kemungkaran dan ketidakadilan.

Muhaddis besar saat memuji keutamaan Abbas bin Ali menyatakan, "Ia bagaikan lautan berombak indah, dengan pantai yang penuh dengan kemuliaan dan keutamaan".

Salam ke atas kehebatan tangan-tangan Haidarmu. Salam ke atas kepantasan pedang Zulfiqarmu. Salam ke atas kesatria dan pembela kekandanya! Salam ke atasmu wahai yang terindah di dalam kamus kesetiaan. Salam ke atasmu dan ke atas tangan-tangan pembawa air yang dikau miliki. Tanah menghidu bauan syurga, langit turun ke bumi dan memeluk rumahnya Murtadha. Kelahiran seorang putera, pencinta Pemimpin Para Penghuni Syurga!

Sebagaimana salam yang diucapkan dan ditujukan kepadamu oleh Maula Imam Muhammad bin Hasan ajf, Mahdinya zaman ini yang kami nantikan kezuhurannya, kami panjatkan salam mewangi ke atasmu:

"السلام على ابى الفضل العباس المواسى اخاه بنفسه"
Salam ke atas Abil Fadlh Abbas yang berkorban jiwa demi kekandanya.

Semoga Allah swt menyambungkan jiwa dan hati kita pada segala sumber kesempurnaan dan kesucian. Sekali lagi kami ucapkan selamat berbahagia atas hari kelahiran dua jiwa bersaudara Imam Husain dan Abbas bin Ali as.

Husayn: Kelahiran Mulia Belahan Jiwa Nabi




Hari ini kita menyambut ulangtahun wiladah Imam Husain bin Ali as, cucunda Rasulullah saww dan putera kedua Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib as dan Bonda Fatimah az-Zahra sa. Pada hari ketiga bulan Syaaban tahun keempat Hijrah, putera kedua Imam Ali dan Fatimah telah selamat diputerakan di dalam rumah wahyu dan wilayah. Tatkala berita kelahiran ini sampai kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasalam, Baginda saww bergegas ke rumah Ali as dan Fatimah sa sambil mengarahkan Asma untuk membawa bayi kepadanya. Asma melilit si kecil dengan kain putih dan membawanya ke sisi Rasul saww. Baginda saww kemudian mengazankan ke telinga kanan dan mengiqamah ke telinga kiri bayi munggil itu.

Pada hari ketujuh kelahiran yang penuh kebahagiaan ini, Jibrail Al-Amin as turun dan berkata: “Salam ke atasmu wahai Rasulullah, namakan bayi ini dengan nama putera kecil Harun ‘Syabir’. Dan di dalam bahasa arabnya adalah ‘Husain’. Ini kerana Ali di sisimu umpama Harun di sisi Musa bin Imran, cumanya Dikau merupakan Penutup Para Nabi. Oleh itu, nama Husain adalah dari sisi Tuhan, yang terpilih untuk putera kedua Fatimah sa.

Pada hari ketujuh kelahirannya, Fatimah sa telah mengorbankan seekor kambing sebagai aqiqah, dan mencukur rambut bayinya lalu mengeluarkan sedekah berupa perak seberat timbangan rambut tersebut.

Husain as dan Rasulullah saww

Husain bin Ali as mengecapi kasih sayang langsung dari Rasulullah saww semenjak kelahirannya sehingga Rasullullah saww wafat enam tahun dan beberapa bulan kemudiannya. Hampir seluruh masyarakat ketika itu mengenal kelebihan dan kedudukan pemimpin ketiga ini di sisi Rasulullah saww. Betapa dalamnya cinta dan kasih Rasulullah saww pada cucundanya itu.





Salman Al-Farisi berkata: “Aku telah melihat Rasulullah saww telah meletakkan Husain ke atas ribaannya lalu mengucupnya sambil bersabda: Engkau adalah orang terhormat, putera orang terhormat dan ayah kepada orang-orang terhormat. Engkau adalah seorang Imam, putera seorang Imam dan ayah kepada para Imam. Engkau adalah Hujjah Allah, putera Hujjah Allah dan ayah kepada Hujjah-hujjah Allah dan mereka berjumlah 9 orang dan yang terakhir daripada mereka, adalah Qaim mereka (Imam Mahdi Ajjalallahu Farajah).”

Anas bin Malik meriwayatkan: “Tatkala Rasulullah saww telah ditanya siapakah daripada ahli keluarganya yang paling baginda cintai, jawab baginda: Hasan dan Husain. Baginda sering memeluk Hasan dan Husain dan mengucup mereka.”

Abu Hurairah, seorang pengampu Muawiyah dan pembenci Ahlul Bait, turut mengakui layanan istimewa Rasul saww pada cucu-cucunya. Ia bercerita: “Aku telah melihat Rasulullah saww mendudukkan Hasan dan Husain di atas bahunya lalu mendekati kami. Tatkala sampai ke sisi kami baginda bersabda: “Barangsiapa yang mencintai kedua putera ini maka dia mencintaiku, dan barangsiapa yang memusuhi mereka, maka dia memusuhiku.”

Mungkin, kemuncak sabda Rasulullah saww yang paling tinggi, paling dekat dan yang paling jelas menggambarkan hubungan maknawi dan malakuti di antara baginda dan Husain ialah tatkala baginda bersabda: “حسین منی و أنا من حسین” yang bermaksud “Husain dariku dan aku dari Husain”.

Husain as dan Ayahandanya

Selama 6 tahun Husain mengecapi saat-saat manis hidupnya bersama nendanya Rasulullah saww. Namun, setelah kewafatan baginda Rasul, Husain menempuh hidup yang penuh ranjau. Bondanya hanya seketika menemaninya sebelum kembali ke sisi nendanya. Di sisi ayahanda tercinta, Husain menagih kasih sayang dan menjadi saksi berita dan derita selama 30 tahun. Seorang ayah yang tidak menghukum kecuali dengan keadilan, dan tidak hidup kecuali hanya dengan kesucian dan penuh kehambaan, tidak melihat kecuali Tuhan, tidak mahukan sesuatu kecuali Tuhan dan tidak menjumpai sesuatu kecuali Tuhan. Seorang ayah yang ketika zaman pemerintahannya, mereka tidak membiarkannya walau sesaat di dalam ketenangan, begitu juga ketika mereka merampas kekhalifahannya, mereka tidak bangun kecuali hanya untuk menyakitinya.





Sepanjang waktu ini, Husain senantiasa mentaati perintah ayahandanya dengan setulus hati dan sepenuh jiwa. Sepanjang tempoh ayahanda memegang tampuk pemerintahan, Husain tanpa mengenal lelah bermujahadah di jalan menegakkan dan memperbaiki tujuan Islami, umpama seorang tentera yang sedia berkorban, persis abangnya. Ia turut mengambil bahagian di dalam perang Jamal, Siffin dan Nahrawan.

Selain itu, Husain sentiasa mempertahankan ayahandanya Amirul Mukminin as dan agama Allah. Husain membangkang para perampas khilafah. Ketika zaman pemerintahan Umar, Husain telah masuk ke dalam masjid, dan tatkala melihat sang khalifah sedang berbicara di atas mimbar nendanya, Husain lantas bergegas ke atas mimbar dan dengan lantang bersuara: “Turunlah dari mimbar ayahku.”

Husain as dan Kekandanya

Selepas ayahandanya Imam Ali as syahid akibat ditetak hujung pedang beracun milik Abdul Rahman bin Muljam. Kekandanya Hasan telah mengemban tugas imamah seperti yang dipesan nendanya Rasulullah saww dan ayahandanya Amirul Mukminin as. Kini, Imam dan penghulu para mukminin beralih kepada Imam Hasan bin Ali as, putera pertama Amirul Mukminin as dan wajib ke atas setiap manusia untuk mentaati setiap arahannya. Husain yang dididik oleh tangan wahyu Muhammadi dan wilayah kepimpinan Alawi, sentiasa bersama kekandanya, menyatu dalam fikiran dan tindakan. Oleh itu, tatkala kemaslahatan Islam dan umatnya menuntut Imam Hasan as berdamai dengan para bughat dan tentera Muawiyah, Husain turut membagi duka kekandanya penuh kesabaran. Husain tidak pernah membangkang abangnya termasuklah dalam urusan genting sebegini. Kerana Husain tahu, perdamaian ini adalah untuk kebaikan Islam dan muslimin.

Suatu hari, Muawiyah sibuk memaki hamun dan menghina arwah Amirul Mukminin sedangkan ia tahu bahawa Husain dan kekandanya Imam Hasan turut hadir di situ. Husain bingkas bangun untuk menjawab tuduhan Muawiyah. Akan tetapi, Husain kembali ke tempatnya tatkala Imam Hasan as mengarahkannya agar mundur. Husain mendengar arahan kekanda yang juga Imamnya dan ia tunduk patuh. Kemudian, Imam Hasan as sendiri bangun dan dengan lantang menjawab fitnah Muawiyah. Jawapan yang tuntas dan jelas itu telah mematahkan makar Muawiyah dan membuatkannya terdiam sendiri.

Husainku tercinta, kelahiranmu telah menjadi mimpi cinta para malaikat; para malaikat yang dengan kedatanganmu, telah melebarkan sayap-sayap mereka ke bumi agar dapat mengecap bauan yang mekar mewangi dari kewujudanmu. Ketika mana bunga-bunga putih dan indah kembang mekar dengan kehadiranmu, ia menghadirkan warna dan bau yang membahagiakan. Dan ketika badan sucimu segak dalam dakapan Rasulullah saww, Madinah tatkala itu melalui saat yang paling indah dan bahagia. Wahai lantera hidayah dan bahtera penyelamat! Selamat datang Tuanku!

Sunday, July 19, 2009

Yaumal Mab’ath



Semakin lama detik berlalu, semakin bertambah hajat dan keperluan insan kepada pelajaran asli Islam yang benar. Bi’that Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wasalam (saaw) bukan hanya khusus bagi zaman jahiliah, bahkan kita hari ini juga berada dalam kejahilan moden yang kita cipta sendiri, bahkan lebih dari jahiliah sebelum kita. Dari sisi lain, pemahaman dan pelajaran dari peristiwa bi’that Rasul tidak harus kita ambil secara sambil lewa; kerana bi’that, merupakan satu-satunya permulaan jalan yang perlu kepada pengembangan dan penerusan. Kitab suci al-Quran, peristiwa al-Ghadir dan Ahlul Bait Nabi, semuanya adalah punca kelangsungan dan penyempurnaan jalan kebahagiaan ini yang mana pada akhirnya nanti, dengan kezuhuran Imam al-Mahdi Alaihissalam (as), Islam sebenar pasti dizahirkan buat dunia dan seluruh isinya.

Dunia ketika bi’that (pengutusan)

Peniliti sejarah dan budaya mempercayai bahawa sifat jahiliah bukan hanya khusus buat penghuni Semenanjung Arab sahaja. Bahkan, agama Islam merupakan petunjuk dan pengukir tamadun baru hampir semua manusia. Di timur dan di negara-negara seperti India dan china, syirik telah tersebar di semua tempat sementara patung berhala, lembu, bintang-bintang di langit serta api disembah sebagai tuhan. Di barat, pelbagai kabilah dari jalur Aryan yang banyak tersebar di Eropah, telah hidup bermandikan darah kerana peperangan yang dahsyat terutamanya di Perancis dan Itali. Pada zaman yang penuh dengan tipu helah dan memalukan sebegini, Allah Subhanahu wa Taala (swt) telah berkehendak, dengan sifat kasih sayang kepada hamba-Nya, untuk melantik Nabi Muhammad saaw sebagai Rasul penyampai hidayah dan petunjuk buat manusia.

Masyarakat Arab pada zaman bi’that

Walau sejenak kita merenung perjalanan hidup masyarakat Semenanjung Arab serta perubahan budaya dan tamadun mereka pada, sebelum dan selepas bi’that, pasti kita menemukan ketinggian usaha-usaha Rasul saaw mendidik umatnya. Masyarakat Badwi hidup berpuak-puak tanpa terikat pada sebarang sistem pemerintahan kenegaraan. Dalam kehidupan sebegini, kabilah-kabilah lainnya dianggap orang asing dan mereka tidak menempati sebarang hak atau penghormatan. Maka, mencuri harta benda, membunuh dan penculikan gadis-gadis merupakan sebahagian dari budaya ma’ruf mereka. Mencuri dikira sebagai salah satu jalan rasmi bagi meneruskan kehidupan. Perkara ini telah diterima semua dan membudaya dalam masyarakat hatta di dalam syair-syair mereka, pembunuhan dan pencurian harta orang lain menjadi kebiasaan yang membanggakan mereka. Dalam masyarakat Jahiliah Semenanjung Arab, wanita dianggap barang yang dimiliki si ayah, suami atau anak lelaki dan bersama harta-harta yang tinggal, akan diwarisi sebagai harta warisan.

Begitu juga penyembahan berhala merupakan agama yang dikenal. Skop penyembahan berhala sangat luas ketika itu. Patung-patung berhala berupa haiwan, tumbuh-tumbuhan, malaikat, bintang-bintang atau walau hanya seketul batu biasa juga dijadikan sebagai objek sembahan. Ketinggian dan kehebatan bi’that Nabi Muhammad saaw terserlah di tengah-tengah masyarakat sebegini. Hasil tarbiah dan didikan Rasul, masyarakat tersebut berubah menggapai ketinggian tamadun insan yang hebat dalam segenap segi sehingga dicemburui masyarakat lainnya.




Kisah Bi’that

Peristiwa bi’that Rasulullah saaw telah diriwayatkan melalui pelbagai riwayat yang berbeza. Salah satu riwayat adalah dari penerangan Imam Hadi as yang berkata: “Ketika Nabi Muhammad saaw meninggalkan perniagaan di Syam, Baginda saaw setiap hari akan pergi ke bukit Hira dan mengetahui bahawa ia adalah salah satu daripada kesan dan tanda rahmat Ilahi dan dengan melihat semua ciptaan ini, menyebabkan Baginda saaw memikirkan tentang kehebatan Tuhan Yang Mencipta dan daripada ini, dengan satu keterangan yang khusus Baginda saaw mula beribadat kepada Allah swt. Oleh kerana, Baginda saaw telah sampai umur 40 tahun, Allah swt telah menemui hati Baginda saaw adalah yang terbaik, paling terang dan redha. Maka ketika itu, Jibrail datang ke sisi Nabi saaw dan memegang bahu serta menggerakkannya dan berkata: “Bacalah.” Sabda Nabi saaw: “Apa yang aku perlu bacakan?” Jibrail berkata: “Wahai Muhammad! Bacalah dengan nama TuhanMu yang mencipta.” Kemudian Jibrail menyampaikan risalahnya dan kembali ke langit, begitu juga Rasulullah saaw pun turun dari bukit. Ketika ini, Allah swt telah memerintahkan bukit-bukit dan batu-batuan untuk berkata-kata, dengan cara mereka sendiri, mereka menunjukkan penghormatan dan berkata: "Assalamualaika Ya Habiballah! Assalamualaika Ya Waliyallah! Assalamualaika Ya Rasulullah!"

Tauhid, risalah yang terpenting Bi’that

Tauhid merupakan risalah asli dan terpenting bi’that. Perspektif usul ini begitu meluas sehingga Islam dikenali dengan nama agama Tauhid. Di dalam Al-Quran, usul Tauhid adalah binaan menyeluruh semua ayat dan permulaan risalah kesemua nabi-nabi terdahulu juga adalah tauhid.

Selain itu, Tauhid bukan hanya jalan penyelesaian bagi masalah-masalah zaman jahiliyah. Tauhid bukanlah hanya satu slogan. Tauhid ialah yang menjauhkan, membenci dan menolak semua thagut. Tauhid ialah tidak bergantung kepada mana-mana kekuatan selain kekuatan dan ketinggian Allah. Dengan pemahaman ini, manusia kurun ke-21, memerlukan usul asli kehidupan ini lebih daripada setiap zaman. Tauhid ialah tidak menerima setiap jenis ketidakadilan. Maka dengan ciri yang dimiliki ini, dari perlakuan manusia yang paling individu (personal) sehinggalah pembentukan undang-undang bagi pemerintahan dunia adalah tempat bagi melaksanakan usul Tauhid. Tanpa Tauhid, tamadun hari ini bukan sahaja tidak berharga, bahkan akan meningkatkan kemusnahan manusia.




Quran adalah peringatan / memori bi’that

Tidak syak, sepanjang zaman bi’that, alat atau wasilah Rasulullah saaw yang paling penting bagi berhadapan dengan para musuh adalah ayat-ayat Al-Quran. Pelajaran-pelajaran yang terdapat di dalam ayat-ayat suci Al-Quran mengalahkan para munafiq dan musyrikin ketika berhadapan dengan dakwah Islam. Hari raya Mab’ath adalah hari raya penurunan Al-Quran secara berperingkat-peringkat. Perayaan hadiah langit daripada Allah kepada manusia.

Bi’that dan Mahdawiyat

Allah swt tidak akan pernah meninggalkan manusia tanpa penunjuk. Bi’that Nabi Muhammad saaw sebagai Khatamul Anbiya’, menunjukkan bahawa manusia telah berkembang hebat di mana ia mampu untuk menerima program yang paling sempurna. Bi’that merupakan permulaan jalan kesempurnaan dan kebahagiaan. Sepertimana para Anbiya Ilahi yang menyediakan tapak dan muqadimah bagi kenabian Rasulullah saaw, bi’that Rasulullah saaw juga adalah permulaan bagi kebahagiaan di mana dengan bendera puteranya (Imam Zaman) akhirnya akan menyampaikan kepada tujuan. Kezuhuran Imam Mahdi Ajjalallahu Farajah umpama bi’that yang lain di mana ketinggian dan kehebatannya akan memusnahkan patung-patung moden jahiliyah. Imam Sodiq as berkata: “Perlakuannya adalah umpama Rasullah saaw. Setiap kepercayaan yang salah akan dimusnahkan, sepertimana Rasulullah yang menghancurkan kepercayaan jahiliyah dan memerintah dunia dengan Islam dan menghancurkan pemerintahan-pemerintahan yang lain.”

Tujuan bi’that dari kata-kata Amirul Mukminin Ali Alaihissalam

“Allah swt telah membangunkan Nabi Muhammad saaw dengan hak bagi menyelamatkan hamba-hambaNya dari menyembah patung-patung berhala dan menunjukkan serta menghidayah mereka kepada penyembahanNya serta meyelamatkan dan melepaskan mereka dari ketaatan syaitan kepada mentaatiNya.”

“Maka Allah swt telah membangunkan para RasulNya dikalangan manusia dan mengutuskan mereka berturut-turut supaya manusia kembali kepada janji dan janji fitrah yang telah mereka janjikan kepada Tuhan mereka dan mengembalikan ingatan mereka kepada nikmat-nikmat yang dilupakan serta dengan tabligh dalil-dalil yang terang, mereka melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab risalah dan mengembalikan kekuatan-kekuatan akal manusia yang tersembunyi di bawah debu kekufuran, syirik dan kesesatan serta menunjukkan mereka tanda-tanda kebesaran Ilahi.”

“Allah swt telah melantik Nabi Muhammad saaw demi menunaikan janjiNya dan menyempurnakan zaman Nubuwwah.”

Bi’that di dalam kata-kata Imam Khomaini Rahimahullah

“Jika bi’that tidak menghasilkan sebarang kesan kecuali kewujudan Imam Ali Bin Abi Thalib as dan kewujudan Imam Zaman as, ini juga merupakan taufik yang sangat besar.”

“Tidak ada peristiwa yang lebih besar daripada bi’that Rasulullah saaw bahkan tidak dapat digambarkan juga; kerana tidak ada yang lebih tinggi daripada Rasulullah saaw di alam ini selain zat Allah swt dan peristiwa lebih besar daripada bi’thatnya juga tiada.

“Rasulullah saaw adalah orang Arab, tetapi dakwahnya bukan milik orang Arab, tidak terhad kepada orang Arab dan dakwahnya adalah milik seluruh alam.”

“Tujuan sebenar kedatangan Rasul adalah untuk mengajar dan mendidik, membaca ayat-ayat...membersihkan dan menyucikan hawa nafsu.”
“Rasulullah saaw mahu menyatukan satu kalimah di dalam seluruh dunia. Baginda saaw mahu meletakkan seluruh pemerintahan dunia di bawah satu kalimah Tauhid.”

Sabda Rasul (saww):

“Hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Firman ALLAH SWT:

“Sesungguhnya pada Rasul itu bagimu adalah teladan yang mulia”

Doa Salawat Fatimah:

"Ya Allah Ya Tuhanku! curahkan lah Rahmat -Mu- atas Fatimah, Ayahnya, Suaminya dan kedua Puteranya (Hasan dan Husain) dengan sebanyak bilangan ilmuMu yang Engkau ketahui "

Eltimasi Doa
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com
http://www.arridha.com
© 2007 Institusi Abal Fazl Abbas (a.s)
Email: heyatt_arredza@yahoo.co.uk